Tok Him Desak Pindaan Peraturan Parlimen, Dakwa Sistem Sedia Ada Lumpuhkan Demokrasi Negara


KUALA LUMPUR, 27 Disember 2025 – Presiden Parti Peribumi Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali menegaskan bahawa sistem demokrasi negara kini gagal berfungsi dengan berkesan susulan kelemahan serius dalam peraturan Parlimen, khususnya berkaitan usul undi percaya dan tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Menurut beliau, peraturan sedia ada menjadikan Parlimen seolah-olah hilang kuasa sebenar kerana sebarang usul tidak percaya tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat.

“Kalau Speaker kata tidak boleh, maka tidak bolehlah. Sedangkan Speaker itu pula sering dilihat cenderung mengikut kehendak Perdana Menteri dan parti pemerintah,” katanya.

Dr Ibrahim menegaskan, sistem sedia ada gagal menjamin kebebasan sebenar Ahli Parlimen kerana usul tidak percaya perlu mendapat kelulusan Speaker terlebih dahulu, sedangkan dalam amalan demokrasi sebenar, usul tersebut wajib dibenarkan dan diputuskan melalui undian sulit.

“Undian sulit sangat penting supaya Ahli Parlimen boleh membuat keputusan secara jujur dan bebas, tanpa tekanan politik, ugutan atau kepentingan tertentu,” katanya.

Beliau turut mengkritik kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang menurutnya semakin terhad dari segi kuasa sebenar dalam sistem pentadbiran negara.

“Pelantikan Perdana Menteri, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera semuanya atas nasihat Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong wajib menerima cadangan itu,” katanya.

Menurut beliau, keadaan ini menjadikan sistem semak dan imbang hampir tidak wujud, sekali gus melemahkan demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.

“Kalau Perdana Menteri hanya boleh dijatuhkan melalui undi tidak percaya tetapi usul itu sendiri disekat, maka di mana letaknya demokrasi?” soal beliau.

Dr Ibrahim turut mempersoalkan pembaziran wang rakyat dalam proses pilihan raya yang menelan ratusan juta ringgit, sedangkan sistem yang ada gagal memberi kebebasan sebenar kepada wakil rakyat.

Beliau menggesa rakyat supaya bangkit bersuara dan menuntut perubahan sistem demi memastikan demokrasi negara tidak terus menjadi sekadar slogan tanpa makna.

#ReformasiParlimen
#UsulTidakPercaya
#DemokrasiMalaysia
#CheckAndBalance
#PutraMalaysia
#IbrahimAli
#ParlimenMalaysia
#PolitikMalaysia
#SuaraRakyat
#SelamatkanDemokrasi

Comments