KUALA LUMPUR — Isu hala tuju UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kembali hangat diperdebatkan apabila wujud desakan daripada akar umbi agar parti itu mempertimbangkan semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar berkata, terdapat pandangan dalam kalangan ahli yang merasakan keberadaan UMNO dalam kerajaan ketika ini tidak memberi keuntungan politik, malah dikhuatiri menghakis sokongan rakyat terhadap parti keramat Melayu itu.
Menurut beliau, penilaian terhadap kedudukan UMNO perlu dilihat daripada dua sudut utama — pentadbiran kerajaan dan strategi politik jangka panjang.
Dari sudut pentadbiran, katanya, kepimpinan UMNO dalam kerajaan khususnya melalui Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Antara pencapaian yang diketengahkan termasuk pengukuhan agenda TVET, pemerkasaan institusi tahfiz, pembangunan luar bandar, pengurusan bencana serta pemerkasaan MARA yang dilihat berjalan tanpa sebarang skandal besar.
“Dalam tempoh tiga tahun ini, kementerian diterajui UMNO membuktikan keupayaan mentadbir dengan berkesan. Kepentingan orang Melayu terus dijaga dan pada masa sama UMNO berjaya menyekat beberapa agenda yang dilihat tidak selari dengan kehendak majoriti, termasuk isu RUU URA dan pemilihan PBT,” katanya.
Namun dari sudut politik, Datuk Gulam berpandangan bahawa setiap cabaran harus dilihat sebagai ruang untuk membuka lebih banyak pilihan strategik. Menurut beliau, politik bukan sekadar soal setia, tetapi juga seni mengatur langkah demi kelangsungan parti.
“Dalam politik, kita perlu ada lebih daripada satu pintu. Bila ada tekanan atau cabaran, itu petanda kita perlu menilai semula strategi. Seperti permainan catur, langkah perlu dirancang dengan teliti. Kad truf perlu disimpan sebaik mungkin,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua pandangan daripada akar umbi wajar diberi perhatian serius, namun keputusan akhir harus diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi parti dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Apa jua keputusan, matlamatnya satu — memastikan UMNO kembali kuat dan menjadi tunjang kepada kestabilan negara menjelang PRU16,” katanya.
#PRU16
#UMNO
#PolitikMalaysia
#KerajaanPerpaduan
#ArahTujuUMNO
#PolitikSemasa
#StrategiPolitik
#AgendaMelayu
#SuaraAkarUmbi
#AACMedia
Comments
Post a Comment