Titah Diraja Dipersoal? Gulam Dakwa Keputusan Mahkamah Cetus Krisis Perlembagaan


KUALA LUMPUR, 22 Disember 2025 – Keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pelaksanaan titah addendum diraja berkaitan Yang Berbahagia Datuk Seri Najib Tun Razak mencetuskan polemik besar di peringkat akar umbi UMNO dan rakyat, sekali gus menimbulkan persoalan serius berkaitan kedudukan Perlembagaan Persekutuan serta prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, keputusan tersebut bukan sahaja mengecewakan, malah berpotensi mencetuskan krisis perlembagaan yang boleh menghakis kuasa institusi diraja jika tidak diperjelaskan secara tuntas.

Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi yang dipengerusikan oleh YAA Alice Loke menimbulkan persoalan besar apabila alasan penghakiman menyatakan titah addendum diraja tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan, sedangkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kuasa prerogatif kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meringankan, menggugurkan atau memansuhkan hukuman.

“Interpretasi ini amat membimbangkan kerana seolah-olah meletakkan titah Yang di-Pertuan Agong di bawah penilaian mahkamah, sekali gus membuka ruang kepada satu precedent berbahaya yang boleh melemahkan kuasa Raja-Raja Melayu,” tegas beliau.

Beliau turut menyifatkan reaksi beberapa pemimpin DAP yang didakwa meraikan keputusan tersebut sebagai tidak sensitif dan berpotensi menyemarakkan ketegangan kaum serta mempolitikkan isu institusi diraja. Menurutnya, tindakan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, wajar dikecam kerana seolah-olah menyokong penghakisan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, UMNO mendesak kepimpinan tertinggi DAP, khususnya Setiausaha Agungnya, YB Anthony Loke, untuk tampil membuat permohonan maaf secara terbuka bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak.

Dalam masa yang sama, Datuk Gulam Muszaffar memaklumkan bahawa UMNO perlu menetapkan naratif dan hala tuju baharu menjelang Mesyuarat Agung UMNO pada 14 Januari 2026, termasuk mempertimbangkan cadangan membawa usul tergempar di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkaitan nasib Datuk Seri Najib Tun Razak serta kedudukan UMNO dalam kerajaan.

“Jika DAP boleh mengugut untuk keluar kerajaan, UMNO juga tidak mustahil mengambil langkah yang sama sebagai pilihan terakhir. Roh UMNO hari ini adalah perjuangan membela Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Beliau menegaskan, isu ini tidak boleh terus dibiarkan berlarutan hampir tiga tahun tanpa penyelesaian yang adil, kerana ia bukan sahaja melibatkan keadilan individu, tetapi maruah parti, institusi diraja dan kestabilan negara.

#TitahDiraja
#NajibRazak
#RohUMNO
#Perkara42
#KrisisPerlembagaan

Comments