“Titah Addendum: Adakah Ini Pengkhianatan Terhadap Titah Tuanku?” – NGO Persoal Keputusan Terbaharu Kes Najib
KUALA LUMPUR, — Seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Baha Taha, tampil menyuarakan kebimbangan serta persoalan rakyat berhubung keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Najib Razak, khususnya selepas keputusan terbaharu yang dibuat pada 22 haribulan lalu.
Menurut beliau, keputusan tersebut menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan rakyat, khususnya berkaitan dakwaan wujudnya campur tangan serta persoalan keadilan terhadap bekas Perdana Menteri itu. Baha berkata, beliau sendiri pernah mengikuti perjalanan kes Datuk Seri Najib sejak perbicaraan awal pada tahun 2019 dan melihat sendiri perkembangan yang berlaku sepanjang proses perundangan tersebut.
Beliau turut mengulas mengenai pengurangan hukuman Datuk Seri Najib daripada 12 tahun kepada 6 tahun penjara serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta, yang menurutnya merupakan satu bentuk “lega hukum” namun masih menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat.
“Persoalannya sekarang, adakah keputusan-keputusan ini selari dengan Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong sebelum ini? Atau wujud unsur campur tangan dalam sistem perundangan negara?” soal beliau.
Baha yang juga merupakan Presiden sebuah gabungan NGO berkata, ramai rakyat marhaen bertanya mengenai masa depan Datuk Seri Najib, termasuk kemungkinan diberikan parol atau pengampunan penuh memandangkan beliau telah menjalani hukuman lebih tiga tahun serta faktor kesihatan dan usia yang semakin lanjut.
Beliau turut menyentuh isu kes 1MDB yang masih berlarutan, termasuk persoalan mengenai kedudukan individu utama seperti Jho Low yang masih belum dibawa ke muka pengadilan. Situasi ini, katanya, menimbulkan persepsi bahawa terdapat ketidakseimbangan dalam pelaksanaan keadilan.
Dalam masa sama, beliau menyeru kerajaan Madani agar lebih telus dan adil dalam menangani isu-isu berkaitan kehakiman, selain menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang politik, bangsa atau agama.
“Rakyat hanya mahukan keadilan. Kami bukan mahu mencetuskan kekacauan, tetapi menuntut ketelusan, keadilan dan belas ihsan, khususnya terhadap seorang bekas Perdana Menteri yang telah banyak berjasa kepada negara,” katanya.
Beliau turut menggesa Kementerian Komunikasi dan pihak berkuasa agar lebih adil dalam mengawal selia media sosial serta tidak menindas suara rakyat dan aktivis yang bersuara secara berhemah.
Mengakhiri kenyataan, beliau berharap kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat terus mentadbir secara adil, telus dan berperikemanusiaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.
#NajibRazak
#KeadilanUntukNajib
#SuaraRakyat
#KerajaanMadani
#HakAsasiManusia
Comments
Post a Comment