“Terowong Tiada, Duit Lesap?” Dato' Armand Azha Desak Pemimpin DAP Jawab Isu Mega Pulau Pinang


SUBANG, 23 Disember 2025 – Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr Armand Azha Hj Abu Hanifah hari ini tampil menggesa Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin, Tony Pua dan Wong Chen supaya memberikan pendirian jelas berhubung projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang yang didakwa melibatkan ratusan juta ringgit tetapi gagal direalisasikan.

Menurut beliau, isu berkenaan bukanlah retorik politik atau serangan partisan, sebaliknya berpaksikan kepada fakta yang dibangkitkan dalam pertuduhan dan prosiding mahkamah berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika diterajui Lim Guan Eng.

Antara perkara utama yang menimbulkan persoalan awam termasuklah projek mega yang melibatkan tiga jalan utama dan satu terowong dasar laut, pembayaran melalui pertukaran tanah, dakwaan bayaran puluhan juta ringgit sebagai yuran perundingan, serta ketiadaan pembinaan terowong sehingga kini. Malah, Lim Guan Eng turut berdepan pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Jika wang telah dibayar, tanah telah ditukar, kajian telah dibuat tetapi projek teras tidak pernah dilaksanakan, maka rakyat berhak mendapat jawapan. Titik,” tegas beliau.

Dato’ Dr Armand Azha menegaskan pendiriannya sebagai kepimpinan UMNO adalah konsisten tanpa mengira individu atau parti. Menurutnya, keputusan mahkamah mesti dihormati sama ada sabitan atau pembebasan, dan prinsip itu terpakai kepada semua – UMNO, DAP, PKR, BN, PH mahupun PN – tanpa sebarang dwi-standard.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas isu Addendum Diraja berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menurutnya telah berkembang daripada khabar angin politik kepada isu pematuhan perlembagaan, susulan pengesahan kewujudannya oleh Istana Pahang dan pengiktirafan oleh mahkamah.

Katanya, isu sebenar yang menjadi tanda tanya rakyat ialah sama ada instrumen diraja yang sah telah dilaksanakan sepenuhnya, dan jika tidak, pihak manakah yang mempunyai kuasa untuk menangguh atau tidak melaksanakannya.

“Ini bukan soal Najib atau UMNO. Ini soal autoriti Yang di-Pertuan Agong, integriti institusi, dan ketertiban perlembagaan. Jika dibiarkan tanpa penjelasan, ia mewujudkan preseden berbahaya kepada sistem Raja Berperlembagaan negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penghormatan kepada mahkamah mesti berjalan seiring dengan penghormatan terhadap kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong, dan persoalan berperlembagaan tidak wajar disenyapkan atas alasan politik.

Mengakhiri kenyataannya, Dato’ Dr Armand Azha sekali lagi menuntut jawapan terbuka daripada Yeo Bee Yin, Tony Pua dan Wong Chen, sambil menegaskan bahawa beliau tidak mempertahankan individu, sebaliknya mempertahankan akauntabiliti, ketelusan dan konsistensi dalam tadbir urus negara.

#TerowongPulauPinang
#DAPPerluJawab
#TiadaDwiStandard
#AkauntabilitiAwam
#KuasaPerlembagaan

Comments