“Setiap Hari Ditangguh Adalah Ketidakadilan” – Mahasiswa Desak Titah Addendum Najib Dilaksanakan


KUALA LUMPUR, 21 Disember 2025 – Seorang mahasiswa, Nurul Natrissya, tampil menyuarakan harapan agar keputusan berkaitan Titah Addendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan diputuskan Mahkamah Tinggi esok, dapat menegakkan prinsip keadilan dan tidak terus dilengahkan.

Menurut Nurul Natrissya, beliau telah lama mengikuti perkembangan kes bekas Perdana Menteri itu sejak kes SRC dan 1MDB, dan berpandangan bahawa kelewatan memutuskan Titah Addendum merupakan satu bentuk ketidakadilan terhadap Datuk Seri Najib.

“Titah addendum ini sepatutnya sudah diputuskan pada 6 Januari 2025, namun telah dilambatkan. Saya faham ada liku-liku birokrasi dan kesulitan tertentu, tetapi setiap hari kelewatan itu sebenarnya adalah ketidakadilan kepada Datuk Seri Najib,” katanya ketika ditemui media AATV.

Beliau turut menyuarakan harapan agar sekiranya mahkamah mengesahkan kewujudan Titah Addendum tersebut, kerajaan segera memperincikan prosedur tahanan dalam rumah secara adil dan tersusun.

Tambahnya, Malaysia masih belum mempunyai kerangka jelas berhubung pelaksanaan tahanan dalam rumah seperti yang diamalkan di beberapa negara lain, justeru kes Datuk Seri Najib berpotensi menjadi kes perintis.

“Saya mengharapkan kes Datuk Seri Najib ini menjadi yang pertama dan prosedurnya adil, bukan sahaja untuk beliau tetapi juga sebagai rujukan kepada kes-kes lain pada masa hadapan,” ujarnya.

Nurul Natrissya juga menegaskan bahawa Titah Addendum tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia berlandaskan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan Kuasa Prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

“Apabila titah ini telah dikeluarkan, sepatutnya ia dilaksanakan sepenuhnya. Saya berharap mahkamah dapat meneliti perkara ini dengan adil dan memastikan titah tersebut dilaksanakan oleh kerajaan serta pihak berwajib,” katanya lagi.

Keputusan Mahkamah Tinggi esok dijangka menjadi penentu penting bukan sahaja kepada nasib Datuk Seri Najib, malah kepada tafsiran dan pelaksanaan kuasa prerogatif Diraja dalam sistem perundangan negara.

#TitahAddendum
#NajibRazak
#KeadilanUntukNajib
#KuasaAgong
#Perkara42
#MahkamahTinggi
#SuaraMahasiswa
#UndangUndangMalaysia
#AATV
#IsuSemasa

Comments