JOHOR BAHRU - Isu sokongan terhadap Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kini menjadi perbincangan hangat dalam kalangan kepimpinan UMNO Johor apabila dua pemimpin UMNO Cawangan Presint Jasa tampil dengan pandangan berbeza yang mencetuskan reaksi pelbagai pihak.
Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Norman Sapar, mempersoalkan rasional kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan UMNO cawangan sama, Dr Azam Rauzan, yang dilihat seolah-olah menggugat kestabilan kepimpinan Menteri Besar Johor.
Menurut Dr Norman, Johor ketika ini berada pada tahap yang baik dari segi pembangunan dan prestasi pentadbiran, malah mencatat pencapaian KPI yang memberangsangkan berbanding beberapa negeri lain.
“Johor ini sebuah negeri yang cukup maju dan berjaya. Tetapi kenyataan Dr Azam seolah-olah menidakkan apa yang telah dibawa oleh YAB Menteri Besar Johor dan dilihat tidak disenangi beberapa pemimpin politik,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Azam Rauzan tampil mempertahankan pendiriannya dengan menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat bukan bertujuan menyerang mana-mana individu, sebaliknya sebagai satu peringatan politik demi kelangsungan UMNO dan Barisan Nasional di Johor.
“Saya bukan politikus biasa. Saya bukan bercakap merapu. Saya bercakap berdasarkan pengalaman dan demi UMNO Johor,” tegas beliau.
Dr Azam turut menegaskan bahawa persoalan yang dibangkitkannya adalah mengenai kekuatan sebenar kepimpinan Menteri Besar Johor dalam mempertahankan kerajaan Barisan Nasional, khususnya menjelang kemungkinan perubahan landskap politik.
Beliau menolak sebarang andaian bahawa bantuan atau prestasi pentadbiran semata-mata mampu menjamin kestabilan politik pada saat genting.
“Bagi duit tiap-tiap bulan tidak menjamin jika last minute berlaku perubahan taktikal politik. Saya nak kerajaan Barisan Nasional kekal dengan Barisan Nasional. Full stop,” katanya.
Tambah beliau lagi, UMNO Johor perlu bersatu dan tidak terlalu bergantung kepada individu tertentu sebagai ‘poster boy’, sebaliknya memperkukuhkan parti secara menyeluruh.
Sementara itu, Dr Norman mengakui kemungkinan Dr Azam mempunyai niat yang baik, namun menegaskan bahawa sebarang kritikan perlu disampaikan dengan lebih berhikmah agar tidak mencetuskan salah faham dan kegusaran dalam kalangan kepimpinan parti.
Isu ini sekali gus mencerminkan dinamika dalaman UMNO Johor yang kini berada di persimpangan penting dalam menentukan hala tuju politik negeri itu menjelang cabaran politik akan datang.
#AATV
#UMNOJohor
#PolitikJohor
#OnnHafiz
#BarisanNasional
#IsuPanas
#DalamanUMNO
#StabilitiPolitik
#BeritaPolitik
#JohorNegeriku
Comments
Post a Comment