“Sampai Bila Politik Dendam?” – NGO Dakwa Wujud Unsur Pendakwaan Politik Terancang



KUALA LUMPUR, 28 Disember 2025 — Keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes 1MDB melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak terus mencetuskan gelombang reaksi dalam kalangan rakyat, khususnya ahli politik dan pemimpin masyarakat, apabila hukuman berat dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Baha Taha, menyifatkan keputusan tersebut sebagai sesuatu yang “mengejutkan, terlalu keras dan tidak berperikemanusiaan”, khususnya apabila mengambil kira usia Datuk Seri Najib yang kini mencecah 72 tahun.

Menurut beliau, keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman melibatkan empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah denda mencecah RM11.38 bilion, adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara mahupun di peringkat antarabangsa.

“Ini bukan soal bersalah atau tidak bersalah semata-mata. Tetapi soal kewarasan sistem. Hukuman seperti ini tidak pernah berlaku di mana-mana negara di dunia. Ia terlalu kejam dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Beliau turut menyentuh bahawa keputusan tersebut mengejutkan ramai pihak termasuk ahli UMNO di seluruh negara serta rakyat di Sabah dan Sarawak yang menghubunginya bagi menyatakan rasa simpati terhadap nasib bekas Perdana Menteri itu.

Menurutnya lagi, sejak penahanan Datuk Seri Najib pada Ogos 2022, beliau telah berdepan pelbagai tekanan fizikal dan emosi, termasuk keadaan kesihatan yang semakin terjejas. Baha turut menyuarakan rasa simpati terhadap keluarga Datuk Seri Najib, khususnya anak-anaknya yang menyuarakan keperitan melihat keadaan ayah mereka.

Beliau turut membangkitkan persoalan tentang konsistensi sistem keadilan apabila perbandingan dibuat dengan beberapa kes berprofil tinggi lain yang menerima keputusan berbeza, sekaligus menimbulkan persepsi wujudnya pendakwaan bermotifkan politik.

“Jika beginilah caranya sistem digunakan terhadap pemimpin politik, apakah jaminan perkara sama tidak akan berlaku kepada pemimpin lain pada masa hadapan?” soalnya.

Dalam pada itu, Baha menyeru semua pihak agar menghentikan politik dendam dan memberi keutamaan kepada kestabilan negara, pembangunan rakyat serta keharmonian nasional menjelang tahun 2026.

#KeadilanUntukNajib
#HukumanTidakBerperikemanusiaan
#PolitikDendam
#SuaraRakyat
#KeadilanDipertikai
#NajibRazak
#1MDB
#NegaraPerluAdil
#HentikanPendakwaanTerpilih
#MalaysiaBerhakTahu

Comments