Perjuangan Sunyi Demi Keadilan & Masa Depan Institusi Negara - Najib Razak


PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menegaskan perjuangan yang sedang dilaluinya ketika ini bukan bersandarkan dendam atau usaha melarikan diri daripada tanggungjawab, sebaliknya berlandaskan prinsip, undang-undang dan Perlembagaan negara.

Dalam satu kenyataan penuh emosi namun tenang, bekas Perdana Menteri itu mengakui ada ketikanya beliau merasakan seolah-olah perjuangan berkenaan perlu dipikul sendirian. Namun demikian, beliau tetap bertekad untuk meneruskan usaha tersebut demi menuntut hak yang diperuntukkan oleh undang-undang serta apa yang telah diperkenankan melalui saluran sah.

“Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan. Niat saya tidak pernah berubah, iaitu untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menurut Najib, perjuangan itu merupakan satu ikhtiar untuk menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan serta mempertahankan kedaulatan undang-undang agar dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Beliau menegaskan akan terus menuntut haknya melalui saluran perundangan yang sah dengan penuh maruah dan kesabaran, walaupun menyedari jalan yang ditempuh adalah sunyi dan menuntut pengorbanan besar.

“Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, Najib turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah serta tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan.

Beliau menekankan bahawa perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang, demi menjaga kestabilan negara.

Mengakhiri kenyataannya, Najib menggesa rakyat Malaysia agar menilai isu tersebut secara menyeluruh, bukan semata-mata dari sudut nasib beliau sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara serta prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang yang dijunjung bersama.

#NajibRazak
#KeadilanUntukSemua
#KedaulatanUndangUndang
#PrinsipDanMaruah
#InstitusiNegara
#ProsesKehakiman
#TiadaPilihKasih
#SuaraRakyat
#PolitikMalaysia
#AATVNews

Comments