GUA MUSANG, 7 Disember 2025 — Dengan hanya berbaki tiga hari terakhir sebelum tirai Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2025 dilabuhkan, pasukan GG 4x4 terus menunjukkan konsistensi luar biasa dalam perlumbaan lasak ekstrem di Gua Musang, Kelantan yang bermula sejak 2 Disember lalu.
Pasukan yang berpangkalan di Marang, Terengganu itu tampil berani dengan mempertaruhkan Land Rover Defender Series 3 88 — jentera hampir 50 tahun — bagi menamatkan keseluruhan 46 peringkat cabaran (SS) meskipun berdepan lawan yang dilengkapi teknologi serba moden.
Menurut pengurus pasukan, Azili Safeei, sehingga kini GG 4x4 hanya terpaksa menerima satu ‘DNS’ iaitu di SS16 akibat masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
“Ini satu rekod yang masih boleh dibanggakan kerana beberapa pasukan lain berdepan kerosakan lebih besar. Motivasi pasukan masih tinggi, terutama mekanik-mekanik kami yang sanggup berhempas pulas memperbaiki kerosakan dalam serba kekurangan,” katanya.
Beliau menambah bahawa jentera klasik mereka masih berada dalam momentum terbaik untuk memburu podium musim ini.
“Kami bangga dengan jentera tua ini. Melihat kepada prestasi semasa, peluang kami tetap ada. Semua pasukan masih mempunyai peluang sama rata, cuma faktor cuaca dalam hutan nanti mungkin memberi cabaran berganda,” jelasnya.
Selain pasukan tempatan, perlumbaan ini turut disertai peserta antarabangsa dari Rusia, Poland dan Latvia, menjadikan keseluruhan 22 jentera bersaing merebut gelaran juara.
RFC Grand Final 2025 bakal melabuhkan tirai pada 10 Disember 2025, sebagai siri terakhir perlumbaan ekstrem 4x4 untuk musim ini selepas berlangsung di beberapa negara benua sepanjang tahun.
#RFC2025 #GG4x4 #LandRoverLegend #GuaMusang #OffroadMalaysia #4x4Challenge #RainforestChallenge #AZtvNews #EkstremMotorsport #RoadToPodium
Comments
Post a Comment