Kuil Ada Geran, Tapi Jawatankuasa Dipersoal – Dato' Dr Kalaivanar Dedah Dakwaan Berat Libat Pengurusan Kuil
BATU 12 JALAN BIDOR, 28 Disember 2025 – Isu dakwaan salah guna kuasa dan kewangan membabitkan Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman, Batu 12 Jalan Bidor, kini memasuki fasa serius apabila lebih 30 laporan polis dilaporkan telah dibuat, selain desakan agar siasatan menyeluruh dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar, yang juga mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, menegaskan bahawa kewujudan kuil tersebut bukan isu pertikaian, malah beliau mengesahkan kuil berkenaan telah wujud lebih 40 hingga 50 tahun di atas tanah persendirian yang mempunyai geran sah.
“Ini bukan kuil haram atau salah guna tanah. Isu sebenar ialah salah guna kuasa oleh jawatankuasa pengurusan kuil yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan perlembagaan pertubuhan,” tegas beliau ketika berucap di hadapan penganut dan penduduk setempat.
Menurutnya, antara isu utama yang dibangkitkan ialah kegagalan jawatankuasa mendaftarkan penganut sebagai ahli secara sah, sedangkan setiap individu berhak menjadi ahli kuil sekiranya memenuhi syarat.
Selain itu, beliau mempersoalkan ketelusan kewangan kuil, termasuk kegagalan menghantar laporan audit kepada ROS dalam tempoh 60 hari selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), seperti yang diwajibkan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
“Setiap akaun kuil mesti diaudit dan dihantar kepada ROS sebelum 1 Mac. Saya percaya perkara ini tidak dilakukan,” katanya.
Isu quorum mesyuarat turut dipersoalkan apabila dipercayai mesyuarat jawatankuasa diadakan tanpa kehadiran minimum satu pertiga atau separuh ahli, sekali gus menjadikan keputusan yang dibuat diragui dari segi kesahihan.
Lebih membimbangkan, Dato’ Dr Kalaivanar turut mendedahkan bantahan penganut terhadap tindakan mengalihkan Dewi Sri Maha Mariamman yang telah lebih 24 tahun disembah di lokasi asal, suatu perbuatan yang disifatkan bercanggah dengan adat dan kepercayaan agama Hindu.
“Ini bukan perkara kecil. Dari sudut agama Hindu, tindakan ini tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku pada tahun 2025,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa semua bukti dan dokumen akan difailkan kepada PDRM serta ROS untuk siasatan lanjut, termasuk kemungkinan tindakan di bawah Seksyen 9A, 13A, 42 dan 52 Akta Pertubuhan 1966, serta peruntukan undang-undang berkaitan salah guna kewangan dan pengubahan wang haram.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar satu AGM baharu diadakan segera di bawah pengawasan penuh ROS, bagi memastikan hanya ahli sah yang telah membayar yuran dibenarkan hadir, selain ketelusan dalam pengeluaran resit dan pengurusan dana.
“Kami mahu isu ini diselesaikan secara profesional. Kami tidak mahu pergaduhan atau kekecohan. Yang kami tuntut hanyalah keadilan, integriti dan ketelusan,” katanya.
#IsuKuil
#SalahGunaKuasa
#AuditKuil
#KeadilanPenganut
#ROS
#PDRM
#IntegritiPertubuhan
#Batu12JalanBidor
#AGMDiawasi
#KetelusanKewangan
Comments
Post a Comment