Ke Mana Lagi Keadilan? Dato’ Rosni Persoal Keputusan Mahkamah Tinggi Isu Titah Addendum


KUALA LUMPUR, 22 Disember 2025 – Keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak melaksanakan Titah Addendum berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai sesuatu yang bercanggah dengan prinsip dan proses perundangan, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Rosni Zahari.

Menurut beliau, keputusan tersebut sebenarnya telah dijangkakan, namun tetap mengecewakan kerana ia bertentangan dengan keputusan mahkamah lebih tinggi sebelum ini yang telah mengesahkan kewujudan Titah Addendum berkenaan.

“Saya memang menjangkakan keputusan hari ini. Walaupun dari segi perundangan, Datuk Seri Najib sepatutnya mendapat pengampunan dan pelaksanaan tahanan rumah, namun alasan yang diberikan oleh Yang Arif Hakim amat bercanggah dengan kes-kes terdahulu,” katanya ketika diminta mengulas keputusan berkenaan.

Dato’ Rosni berkata, keputusan itu menimbulkan persoalan besar terhadap keyakinan rakyat kepada sistem kehakiman negara.

“Apabila alasan yang diberikan bercanggah dengan keputusan mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan, ia secara tidak langsung menimbulkan rasa hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan kita,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah memutuskan bahawa Titah Addendum itu wujud dan justeru kes tersebut telah dikembalikan ke Mahkamah Tinggi hanya untuk tujuan pelaksanaan.

“Mahkamah Tinggi sepatutnya hanya melaksanakan perintah tersebut. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ini menimbulkan tanda tanya kerana keputusan hari ini tidak mempertikaikan kewujudan Addendum, tetapi memilih untuk tidak melaksanakannya,” katanya lagi.

Dato’ Rosni turut menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu isu perundangan besar yang wajar dikaji secara mendalam oleh pengamal-pengamal undang-undang di negara ini.

Secara peribadi, beliau mengakui tidak lagi meletakkan harapan tinggi terhadap proses rayuan yang berulang kali melibatkan isu sama.

“Kita telah melalui keseluruhan proses berkaitan kewujudan Addendum ini. Jadi persoalannya, ke mana lagi keadilan mahu dicari?” soalnya.

Dalam masa sama, beliau berharap barisan peguam Datuk Seri Najib akan mengambil langkah sewajarnya bagi mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan hak Raja-Raja Melayu di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Jangan sampai rakyat bangkit mempersoalkan mengapa hak ini seolah-olah dipertikaikan,” tegasnya.

#TitahAddendum
#NajibRazak
#KeadilanUntukNajib
#Perkara42
#SistemKehakiman

Comments