KAMPAR, 24 Disember 2025 – Penduduk pelbagai kaum di sebuah kawasan perumahan di Kampar hari ini tampil menyerahkan memorandum kepada Majlis Daerah Kampar (MDK) bagi membantah pembinaan sebuah pusat dialisis di kawasan padang rezab yang didakwa telah dijanjikan sebagai kawasan lapang oleh pemaju.
Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara yang hadir mengiringi penduduk memaklumkan bahawa pembelian rumah di kawasan tersebut dibuat dengan bayaran antara RM2,500 hingga RM3,000, selepas pemaju memberi jaminan bahawa kawasan berkenaan akan kekal sebagai padang rezab, selain peruntukan tanah untuk TNB dan gerai makanan.
Menurut beliau, tindakan membina pusat dialisis di kawasan itu dilakukan tanpa rundingan dengan penduduk serta wakil rakyat tempatan, sekali gus menimbulkan kemarahan dan kebimbangan masyarakat setempat.
“Kita bukan menolak pusat dialisis. Kita alu-alukan. Tetapi kenapa bina di padang rezab kawasan perumahan? Sepatutnya ada perbincangan dahulu dengan penduduk,” tegasnya.
Dato’ Dr Kalaivanar turut mendakwa wujud unsur konspirasi melibatkan beberapa pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah serta pemaju, yang disyaki telah menukar status tanah berkenaan tanpa ketelusan.
Beliau menegaskan isu ini akan dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut, termasuk persoalan bagaimana kelulusan pusat dialisis boleh diberikan di kawasan perumahan yang sepatutnya dilindungi.
Dalam masa sama, penduduk mendakwa pihak Majlis Daerah Kampar enggan menerima memorandum walaupun notis awal telah diberikan, malah beberapa surat rasmi yang dihantar sebelum ini juga tidak pernah dijawab.
“Kami datang secara aman. Kami tak marah. Kami cuma mahu suara kami didengar,” ujar wakil penduduk.
Isu ini turut mendapat perhatian apabila Dato’ Dr Kalaivanar mengkritik sikap wakil rakyat setempat yang didakwa gagal turun padang serta tidak memainkan peranan sebagai pengantara antara rakyat dan pihak berkuasa.
Beliau turut mempersoalkan kelulusan Kementerian Kesihatan terhadap pusat dialisis tersebut, khususnya berkaitan garis panduan pembinaan pusat hemodialisis, termasuk dakwaan bayaran dikenakan sedangkan pusat itu dikatakan bersifat kebajikan.
Satu memorandum turut akan diserahkan kepada Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Dzulkifly Ahmad, serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, bagi menuntut penjelasan dan tindakan segera.
Penduduk menegaskan mereka tidak membantah pusat dialisis, namun menuntut agar ia dibina di kawasan komersial atau lot kedai kosong yang lebih sesuai demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
#BeritaAATV
#KamparBangkit
#SuaraRakyat
#PadangRezab
#IsuRakyat
#DialisisKampar
#KeadilanUntukPenduduk
#PantauPemaju
#TegakkanKebenaran
#RakyatDidahulukan
Comments
Post a Comment