“Ini Jalan Terakhir” – Pendedahan Yana Najib Tentang Addendum Tahanan Rumah


KUALA LUMPUR – Permohonan semakan kehakiman yang difailkan Datuk Seri Najib Razak bagi mengesahkan kewujudan serta pelaksanaan titah addendum berkaitan tahanan rumah bukanlah pilihan pertama beliau, sebaliknya langkah terakhir selepas usaha diplomatik secara tertutup gagal membuahkan hasil.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh anak beliau, Yana Najib, bekas Perdana Menteri itu sejak awal memahami sensitiviti isu berkenaan dan berusaha menyelesaikannya tanpa perhatian umum, demi mengelakkan mana-mana pihak termasuk kerajaan daripada berada dalam keadaan sukar.

“Selama lebih tiga bulan, Datuk Seri Najib telah berusaha mendapatkan kepastian dengan menulis kepada kementerian dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Pejabat Perdana Menteri. Namun, tiada satu pun surat tersebut menerima sebarang maklum balas,” jelas kenyataan itu.

Walaupun berdepan kebuntuan, Najib dikatakan masih keberatan untuk membawa perkara itu ke mahkamah kerana sedar bahawa pendedahan kepada umum akan menimbulkan sensitiviti besar, khususnya apabila sudah wujud persepsi seolah-olah terdapat cubaan menyembunyikan kebenaran.

Persoalan yang dibangkitkan, sejauh manakah pihak-pihak yang enggan addendum tersebut didedahkan sanggup bertindak sehingga berpotensi mencabar tonggak asas sistem kenegaraan, semata-mata untuk menafikan hak beliau.

Tambah kenyataan itu, proses membawa kes addendum diraja ke mahkamah merupakan perjalanan panjang hampir dua tahun melibatkan penangguhan, pengurusan kes, permohonan kebenaran semakan kehakiman dan proses rayuan — hanya untuk berdepan kemungkinan keputusan bahawa addendum itu wujud tetapi dianggap tidak sah.

“Sekiranya pihak berkuasa berkaitan memberikan jawapan seawal Januari atau Februari 2024 dengan menyatakan bahawa titah diraja itu diterima tetapi tidak boleh dikuatkuasakan atas sebab tertentu, sudah tentu masa dan kos Datuk Seri Najib dapat dijimatkan,” menurut kenyataan tersebut.

Yana Najib turut menyatakan keyakinannya bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak akan mengeluarkan sebarang titah tanpa nasihat Peguam Negara, apatah lagi apabila addendum berkenaan ditujukan secara langsung kepada Peguam Negara ketika itu.

Beliau menegaskan bahawa kes ini membuktikan kegagalan pihak tertentu untuk mengambil tanggungjawab akhirnya mencetuskan pelbagai komplikasi, kekecewaan dan ketegangan emosi yang tidak mampu diredakan hanya dengan seruan supaya rakyat bersabar.

Dalam kenyataan sama, Datuk Seri Najib digambarkan kekal berpegang kepada prinsip untuk menghadapi apa yang disifatkan sebagai penganiayaan politik, dan menolak sebarang jalan melarikan diri daripada proses perundangan.

“Beliau tekad untuk membersihkan namanya dan terus berjuang menegakkan keadilan walaupun amat kecewa,” kata Yana Najib.

Sebagai seorang anak, beliau hanya mampu mendoakan agar bapanya dikurniakan kesihatan yang baik pada usia 72 tahun, supaya mampu menghadapi segala cabaran dengan ketenangan fikiran dan ketabahan hati.

#NajibRazak
#AddendumDiraja
#TahananRumah
#KeadilanUntukNajib
#TitahRaja
#IsuPerlembagaan
#PolitikMalaysia
#PrinsipDanKeadilan
#AATVMalaysia
#SuaraRakyat

Comments