Hutang 1MDB Tinggal RM9.7 Bilion – Pendedahan Mengejutkan Nilai Aset Lebih RM150 Bilion



KUALA LUMPUR, 29 Disember 2025 – Isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kembali menjadi tumpuan selepas keputusan mahkamah baru-baru ini, namun menurut Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr. Armand Azha Hj Abu Hanifah, persepsi bahawa 1MDB masih menanggung beban hutang luar biasa adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan berdasarkan fakta rasmi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau menjelaskan bahawa angka hutang 1MDB sering disalah tafsir dan dibesar-besarkan, sedangkan data sebenar yang dibentangkan secara rasmi di Parlimen menunjukkan gambaran yang jauh berbeza.

Menurut beliau, jumlah hutang sebenar 1MDB ketika ini hanyalah sekitar RM9.7 bilion, merangkumi RM5 bilion nilai prinsipal dan RM4.7 bilion faedah. Angka ini adalah hasil daripada pelbagai langkah pelunasan hutang yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

“Kerajaan telah membayar sebanyak RM43.8 bilion daripada jumlah keseluruhan hutang 1MDB, termasuk RM24.5 bilion melalui ‘shareholders advance’ dan RM19.3 bilion melalui akaun amanah,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, usaha pemulihan aset 1MDB turut menunjukkan hasil yang signifikan. Sehingga kini, kerajaan telah berjaya memperoleh kembali RM33.6 bilion hasil pemulihan aset, selain RM8 bilion lagi melalui penyelesaian bersama IPIC, firma pelaburan dari Abu Dhabi.

Lebih mengejutkan, nilai aset 1MDB yang masih dimiliki ketika ini dianggarkan melebihi RM150 bilion, menjadikan kedudukan kewangan entiti tersebut jauh lebih kukuh berbanding persepsi umum.

“Jika diambil kira nilai aset semasa dan ditolak keseluruhan hutang, 1MDB sebenarnya masih mempunyai lebihan nilai bersih sekitar RM80 hingga RM100 bilion. Ini menunjukkan bahawa naratif kononnya 1MDB ‘bankrap’ atau ‘bocor berpuluh bilion’ adalah tidak tepat,” tegas beliau.

Menurut Dato’ Dr. Armand Azha, penjelasan ini bukan bertujuan mempertahankan mana-mana individu, sebaliknya demi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenar berdasarkan fakta dan dokumen rasmi yang telah dibentangkan di Parlimen.

“Ini bukan soal individu, tetapi soal masa depan ekonomi negara. Rakyat berhak mengetahui fakta sebenar, bukan persepsi yang diulang tanpa semakan,” katanya.

Beliau turut menyeru agar kerajaan terus bersikap telus dan memberikan penerangan menyeluruh kepada rakyat berhubung kedudukan sebenar kewangan negara demi mengelakkan kekeliruan berpanjangan.

#1MDB
#FaktaBukanFitnah
#KebenaranEkonomi
#HutangNegara
#Isu1MDB
#DataBukanRetorik
#FaktaParlimen
#EkonomiMalaysia
#KetelusanKerajaan
#AACMedia

Comments