Bukan Abaikan Haiwan, Tetapi Dikhianati Pekerja? Penjelasan Doktor Veterinar Isu Video Tular Dakwaan Penganiayaan Haiwan
KUALA LUMPUR — Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini tampil menjadi platform perantara bagi memberi ruang kepada seorang doktor veterinar untuk menjelaskan situasi sebenar berhubung dakwaan penganiayaan haiwan yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Aktivis PPIM, Kak Jan memaklumkan bahawa pihaknya menerima kehadiran Dr. Fadzilah A’ini Bt Abdul Kadir bersama seorang kliennya bagi membuat aduan serta memberi penjelasan berhubung video dan gambar yang telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
Menurut Kak Jan, kebanyakan laporan dan reaksi awam setakat ini dilihat hanya mendengar daripada satu pihak tanpa siasatan menyeluruh. Justeru, PPIM mengambil pendekatan untuk membenarkan semua pihak terlibat menjelaskan kronologi sebenar kejadian.
Klien doktor, Syafiah Rashid mendakwa punca sebenar kejadian berpunca daripada kecuaian dua individu lelaki yang diupah secara harian untuk menjaga dan membersihkan klinik, termasuk memberi makan kepada haiwan. Menurutnya, kedua-dua individu tersebut didakwa gagal hadir bekerja selama beberapa hari tanpa memaklumkan kepada doktor.
“Pada 12 haribulan, apabila kami membawa masuk cleaner, barulah kami sedar haiwan-haiwan tidak dijaga. Ketika itu baru diketahui ada anjing dan kucing yang mati. Namun selepas tarikh itu, kami sendiri memastikan haiwan yang masih ada diberi makan dan minum setiap hari,” jelas Syafiah.
Beliau turut mempersoalkan tindakan seorang bekas kakitangan yang didakwa menceroboh masuk ke klinik pada awal pagi bersama sebuah NGO haiwan, mengambil gambar dan memviralkan kejadian tanpa kebenaran serta tanpa siasatan lanjut.
“NGO itu niatnya baik, tetapi mereka hanya dengar satu pihak. Mereka terus menuduh doktor tanpa menyiasat latar belakang sebenar, sedangkan doktor ini sakit dan sedang dalam proses berpindah klinik sejak Oktober lagi,” katanya.
Sementara itu, Dr. Fadzilah A’ini menzahirkan kesedihan dan keterkejutannya apabila mengetahui haiwan-haiwan tersebut mati, sambil menegaskan beliau sangat menyayangi haiwan dan tidak pernah berniat menganiaya mana-mana makhluk.
“Saya menangis apabila dapat tahu. Saya jadi veterinar sebab saya cintakan haiwan. Saya telah berkhidmat lebih 30 tahun dengan Jabatan Veterinar dan membuka klinik selepas pencen untuk terus berbakti dengan bayaran minimum,” katanya.
Dr. Fadzilah turut menafikan dakwaan beliau tidak membayar gaji pekerja, sebaliknya menjelaskan hanya berlaku kelewatan bayaran dalam satu bulan atas faktor tertentu, namun gaji tetap diselesaikan.
Menurut beliau lagi, tindakan undang-undang telah dan akan diteruskan bagi membersihkan nama serta menentukan pihak sebenar yang harus dipertanggungjawabkan dalam isu ini.
PPIM menegaskan bahawa siasatan wajar dilakukan secara adil dan menyeluruh agar tidak berlaku kezaliman terhadap mana-mana pihak, terutamanya apabila isu tular melibatkan reputasi dan emosi awam.
#AATVMedia
#PPIM
#IsuTular
#KeadilanUntukSemua
#JanganHukumAwal
#KesHaiwan
#FitnahMediaSosial
#SuaraKebenaran
#BeritaTularMalaysia
#InvestigasiBerimbang
Comments
Post a Comment