KUALA LUMPUR, 28 Disember 2025 – Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Armand Azha, tampil mempertahankan pendiriannya dalam menyuarakan isu keadilan melibatkan Datuk Seri Najib Razak, sambil menegaskan bahawa setiap kenyataan yang dibuatnya adalah suara akar umbi, bukan kepentingan peribadi.
Menurut beliau, sebagai seorang pemimpin parti, amanah untuk menyampaikan keresahan dan harapan ahli di peringkat akar umbi tidak boleh dipandang ringan walaupun berdepan tekanan, cemuhan dan serangan politik.
“Apabila saya bersuara, itu bukan suara peribadi saya. Itu suara akar umbi yang tidak boleh dipadamkan. Walaupun pahit, ia tetap perlu disuarakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mendedahkan wujudnya tekanan daripada pihak tertentu yang didakwa cuba menyekat liputan media berkaitan kenyataannya mengenai Datuk Seri Najib Razak. Menurutnya, beberapa pengamal media dimarahi dan ditekan supaya tidak menyiarkan pandangannya.
“Saya tahu ada yang tidak selesa. Ada yang senyum di depan, tetapi menikam dari belakang. Namun saya lebih rela bercakap benar walaupun pahit, daripada diam kerana kepura-puraan,” tegas beliau.
Dalam kenyataan sama, Dato’ Armand turut mengimbau detik awal kebangkitan fenomena Bossku yang bermula pada tahun 2019, ketika pertemuan santai bersama Datuk Seri Najib Razak dan anak-anak muda dua roda di Lepaking, Gombak.
Beliau berkata, ungkapan ikonik “Malu Apa Bossku” lahir secara spontan dan menjadi simbol sokongan rakyat, khususnya golongan muda, terhadap bekas Perdana Menteri itu.
“Saya masih ingat, ketika ramai menjauhkan diri, hanya segelintir sahabat yang setia bersama Datuk Seri Najib. Ketika itulah gelombang Bossku bermula dan ia tidak boleh dipadam daripada sejarah,” katanya.
Tambah beliau, meskipun pernah dikritik dan ditekan kerana menganjurkan pertemuan tersebut, Datuk Seri Najib sendiri memberi sokongan penuh agar usaha mendekati anak muda diteruskan.
Dalam nada tegas, Dato’ Armand menegaskan beliau kekal setia bersama UMNO ketika parti diuji dan tidak pernah mengkhianati kepimpinan.
“UMNO adalah rumah saya. Saya tidak pernah memaki atau mengkhianati parti walaupun diuji. Perjuangan ini bukan untuk nama, tetapi untuk maruah dan kebenaran,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru seluruh ahli parti agar tidak berputus asa dan terus membina semula kekuatan UMNO berlandaskan kejujuran, keberanian dan kesetiaan.
#Bossku
#UMNOBangkit
#SuaraAkarUmbi
#KebenaranTidakBolehDibungkam
#DatoArmandAzha
#SejarahBossku
#UMNOSubang
#PolitikBerani
#BersamaBossku
#BeritaAAXMedia
Comments
Post a Comment