Tak Pandai Jaga Hati Umat Islam!” – PPIM Tempelak Menteri Tak Sensitif Isu Arak

KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2025 – Aktivis PPIM, Nadzim Johan (Toqqi), mengecam tindakan seorang menteri yang didakwa tidak sensitif terhadap sensitiviti umat Islam berhubung isu pengedaran minuman keras.

Menurut Toqqi, tindakan menteri tersebut seolah-olah tidak mengambil kira realiti bahawa Malaysia masih merupakan negara majoriti Islam, dan apa jua keputusan dasar perlu mempertimbangkan hati serta perasaan rakyat Muslim.

“Saya rasa menteri kita ni silap di-advice ataupun memang tak kisah. Negara ini masih majoriti orang Islam. Kalau majoriti dah berubah, mungkin lainlah ceritanya. Tapi sekarang, sepatutnya dia pandai ikut cara PAP (Parti Tindakan Rakyat Singapura) – jaga sensitiviti masyarakat,” tegas Toqqi.

Beliau menegaskan bahawa sebarang dasar yang dilihat menggalakkan budaya arak bukan sahaja bercanggah dengan nilai agama Islam, malah boleh mencetus ketegangan antara kaum dan agama.

“Kenapa nak galakkan orang bagi arak? Itu benda yang melanggar perlembagaan pun. Tak ada sebab untuk buat begitu. Apa untungnya kepada rakyat?” katanya lagi.

Toqqi turut membandingkan tindakan pemimpin di negara jiran seperti mendiang Lee Kuan Yew yang, katanya, bijak mengambil hati masyarakat Islam ketika berkempen, walaupun memimpin negara majmuk.

“Lee Kuan Yew dulu pandai – dia boleh pakai songkok, boleh masuk masjid waktu berkempen. Tapi dia tahu masa bila sesuai. Menteri kita ni pula macam tak reti nak jaga hati orang,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Toqqi menegaskan bahawa isu ini bukan soal politik kepartian, tetapi soal maruah dan sensitiviti rakyat Malaysia, khususnya umat Islam.

“You boleh buat banyak benda, tapi jangan sentuh maruah (dignity). Itu benda paling penting,” katanya dengan nada tegas.

Beliau turut menyindir bahawa rakyat kini dapat menilai sendiri tindakan dan watak sebenar pemimpin mereka.

“Kalau dah macam ni pun rakyat masih tak sedar, padanlah muka kita. Kita kena ada otak, kena ada maruah. Biar semua orang kenal siapa menteri ni sebenarnya,” katanya menutup kenyataan.

Toqqi turut menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) untuk menilai dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kalau saya PM, saya tarik telinga dia. Tapi sekarang kita serah pada PMX,” katanya sinis.

#Toqqi #PPIM #IsuArak #MenteriKontroversi #SensitivitiIslam #RakyatBangkit #PMX #MalaysiaNegaraIslam #HormatiMaruah #SuaraRakyat

Comments