Harga Makanan Dijangka Naik Jika Gas Subsidi Ditarik Balik – Amaran PRESMA
KUALA LUMPUR — Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (PRESMA) hari ini menzahirkan kebimbangan besar berhubung kekangan tenaga kerja asing dalam industri makanan dan minuman (F&B), selain isu penggunaan gas bersubsidi yang dilihat bakal memberi kesan langsung terhadap harga makanan.
Presiden PRESMA, Dato’ Hj Jawahar Ali Taib Khan berkata demikian ketika Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-21 PRESMA yang dirasmikan oleh YB Senator Fuziah Salleh, Timbalan Menteri KPDN.
Beliau menegaskan, industri restoran kini berdepan kesukaran besar mendapatkan pekerja asing selepas hampir dua tahun kerajaan membekukan kemasukan dan proses gantian pekerja.
“Kami hanya menggunakan kurang 10% pekerja asing daripada jumlah keseluruhan di Malaysia. Kami berharap kerajaan mempertimbangkan semula dasar gantian pekerja asing pasca Covid-19 bagi memastikan kelangsungan operasi restoran,” katanya.
Menurut beliau, isu penginapan pekerja asing di bawah Akta 446 dan 60K turut menyulitkan banyak pengusaha kerana syarat berbeza-beza antara pihak berkuasa tempatan (PBT). Ada PBT membenarkan pekerja ditempatkan di premis atas restoran, ada pula melarang sehingga memaksa pengusaha menyewa kondominium atau rumah di kawasan perumahan yang kadangkala mendapat bantahan.
Dalam masa sama, Dato’ Jawahar turut menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan penguatkuasaan penggunaan tong gas tidak bersubsidi yang bakal menyebabkan kos operasi meningkat seterusnya memberi kesan langsung kepada harga makanan di restoran.
“Kebanyakan pelanggan kami adalah daripada golongan B40 dan M40. Jika gas bersubsidi ditarik balik, kami bimbang harga makanan melonjak dan membebankan pengguna,” ujarnya.
PRESMA yang dianggotai lebih 3,500 ahli dengan rangkaian 10,000 restoran di seluruh Malaysia juga menyumbang besar kepada ekonomi negara melalui pembayaran SST, zakat, serta cukai pendapatan, dengan sesetengah ahli membayar sehingga RM500,000 SST dalam tempoh dua bulan sahaja.
Dato’ Jawahar turut mengajak lebih ramai anak muda tempatan menceburi industri restoran, sambil menekankan bahawa sektor F&B mampu menjadi medan menjana pendapatan lumayan jika diberikan sokongan berterusan.
#PRESMA2025 #RestoranIndiaMuslim #IsuPekerjaAsing #KosHidup #GasSubsidi #IndustriFNB #SuaraPengusaha #EkonomiRakyat #HargaMakanan #SokongB40
Comments
Post a Comment