PPIM Bongkar Makanan Kucing Ada 'Derivatif Pork' ?? – Umat Islam Diminta Lebih Berhati-Hati!


Umat Islam Jangan Ambil Mudah – PPIM Akan Hantar Sampel Makanan Kucing ke Makmal Bertauliah

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2025 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil menggesa umat Islam agar lebih berhati-hati dalam memilih makanan haiwan peliharaan, khususnya kucing, selepas mendedahkan terdapat beberapa produk di pasaran yang mengandungi bahan berasaskan “meat” dan “animal derivatives”.

Aktivis PPIM, Nadzim Johan (Toqqi) berkata, aduan mengenai isu ini telah lama diterima dan kini disahkan melalui semakan terhadap label beberapa jenama terkenal makanan kucing yang mengandungi bahan terlarang tersebut.

“Kita hari ini ke depan sebab ini memang betul, bukan rekaan. Dalam label produk, jelas tertulis ‘pork derivative’ atau ‘animal pork’. Takkanlah ‘animal’ tu gajah pula? Biasanya yang paling murah ialah daging babi,” kata Toqqi.


Beliau turut menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar tentang haiwan, tetapi melibatkan kebersihan, kesucian dan ibadah umat Islam kerana makanan yang diberi kepada haiwan peliharaan turut boleh mencemarkan kawasan rumah, sejadah dan masjid jika tidak dikawal.

“Kita main dengan kucing, pijak lantai, atau kucing main di surau — semua itu boleh sebabkan pencemaran najis babi tanpa sedar. Akhirnya, ia boleh menjejaskan doa dan ibadah kita,” katanya.


Sementara itu, aktivis PPIM Cikgu Izham yang turut hadir menyuarakan kebimbangan sama, terutama bagi pemilik rumah yang menyimpan makanan kucing di dapur.

“Ramai bela kucing, letak makanannya di dapur atau peti ais. Kalau salah beli, maknanya kita simpan produk babi dalam rumah tanpa sedar. Tambah pula ada anak kecil yang main dengan kucing — risikonya besar,” tegas beliau.


Cikgu Izham juga mempersoalkan istilah samar pada label seperti “meat and animal derivatives” yang tidak menjelaskan jenis daging digunakan.

“Kalau tulis ‘fish’, kita tahu ikan. Tapi kalau tulis ‘meat’, daging apa? Ini yang kita panggil ‘setan tak kenal’. Kena ada kejelasan, jangan mengelirukan pengguna,” katanya lagi.


Bagi memastikan ketelusan, PPIM memaklumkan akan menghantar sampel makanan kucing ke makmal bertauliah untuk ujian lanjut bagi menentukan kandungan sebenar bahan tersebut.

“Kita akan ambil sampel daripada pelbagai jenama, minta makmal sahkan kandungan. Hasilnya nanti kita umumkan kepada rakyat,” ujar Toqqi.


Penasihat Agama PPIM, Ustaz Ahmad Shahdan, pula menjelaskan bahawa pengguna yang tidak tahu mengenai perkara ini tidak berdosa, namun setelah mendapat pengetahuan, menjadi tanggungjawab untuk mengelak.

“Bila seseorang tak tahu, dia dimaafkan. Tapi bila dah tahu, kena berhati-hati dan bertaubat. Ini soal amanah terhadap diri dan agama,” katanya.


Dalam sidang itu juga, PPIM mengingatkan pengguna supaya memeriksa label dengan teliti dan menyemak senarai produk di laman rasmi PPIM (https://ppim.ngo) yang akan mengandungi maklumat lanjut berkenaan jenama-jenama terlibat.

“Kita bukan nak memalukan mana-mana syarikat, tapi nak sedarkan masyarakat supaya tidak ambil mudah soal halal haram. Kelemahan umat Islam hari ini ialah sikap sambil lewa dan kurang menyiasat,” tegas Toqqi.


Sidang media itu turut menyentuh isu boikot terhadap produk yang didakwa menyokong rejim Zionis, sekali gus menyeru pengguna Islam agar bersatu menolak produk yang mencemarkan nilai halal dan kemanusiaan.

#PPIM #IsuHalalHaram #MakananKucing #HalalAlert #UmatIslamPeka #BoikotProdukHaram #PorkDerivative #KesucianRumah #PPIMBersamaRakyat #JagaHalalJagaIman

Comments