KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2025 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini membangkitkan isu serius berkaitan produk makanan kucing yang didakwa mengandungi unsur babi, sekali gus menyeru umat Islam agar lebih berhati-hati dalam memastikan kebersihan dan kesucian ibadah mereka tidak tercemar.
Ketua Aktivis PPIM, Toqqi (Nadzim Johan) berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan pertanyaan daripada orang ramai mengenai status halal bahan yang digunakan dalam pelbagai produk harian – termasuk gam, dakwat, cat, dan makanan haiwan peliharaan.
“Kita tak nak orang Islam terdedah dengan benda haram tanpa sedar. Kucing ni rapat dengan kita – tidur, bermain, malah ada yang datang dekat sejadah masa kita solat. Kalau makanan dia ada unsur babi, kita risau kesan pencemaran itu terkena kita pula,” katanya.
Menurutnya, hasil pemantauan PPIM mendapati sebahagian besar makanan kucing import mengandungi bahan berasaskan hati atau lemak babi, kononnya bagi tujuan meningkatkan nutrisi dan kesihatan haiwan tersebut.
“Kita bukan nak larang orang jual. Tapi pengguna Islam mesti tahu dan sedar. Kalau ada pilihan, pilihlah makanan kucing yang bebas babi. Kalau tak ada, itu lain cerita. Tapi jangan ambil mudah,” tegas beliau.
Aktivis PPIM, Cikgu Izham, turut menambah bahawa ada jenama terkenal yang menggunakan istilah ‘Royal’ dalam produknya telah ditegur, namun pengguna masih membeli tanpa menyemak kandungan.
“Masalahnya kita beli, kita tak baca. Lepas tu bawa pula makanan kucing tu ke masjid, bagi makan kucing depan tangga masjid. Secara tak langsung kita sebarkan najis babi di kawasan ibadah tanpa sedar,” ujarnya.
Sementara itu, Penasihat PPIM, Dato’ Aidit Ghazali mengingatkan bahawa isu ini bukan soal kecil kerana ia boleh memberi kesan kepada keberkatan hidup dan doa umat Islam.
“Doa itu senjata mukmin. Tapi kalau hidup kita terlibat dengan benda yang haram, senjata itu jadi tumpul. Kita minta keberkatan, tapi sumber kita tercemar – bagaimana doa nak makbul?” katanya.
PPIM menyeru agar pihak berwajib termasuk JAKIM dan KPDN melihat semula garis panduan halal terhadap produk haiwan peliharaan serta meningkatkan kesedaran pengguna supaya tidak leka dalam isu halal-haram yang nampak kecil tetapi besar kesannya kepada amalan dan akidah.
#IsuHalal #PPIM #HalalHaram #KesedaranPengguna #SayNoToPork #KucingIslamik #DoaMakbul #HalalLifestyle #CintaTanpaNajis #JagaHalalJagaDoa
Comments
Post a Comment