Petroleum dan Gas Sarawak: Benarkah Bergerak Berasingan dari PETRONAS?

KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2025 – Persoalan mengenai sama ada Petroleum dan Gas Sarawak (PGS) kini bergerak secara berasingan daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) kembali menjadi topik hangat, susulan Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 yang memberikan autonomi kepada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam urusan pengagihan dan penjualan gas di negeri tersebut.

Menurut dapatan semasa, dianggarkan 60 peratus hasil PETRONAS bernilai sekitar RM20 bilion setahun (2022–2024) telah beralih kepada PETROS. Walaupun PETROS, yang ditubuhkan pada Ogos 2017 dan mula beroperasi pada suku pertama 2018, pernah bekerjasama rapat dengan PETRONAS dalam pembangunan industri minyak dan gas negara, kini muncul tanda-tanda pergerakan berasingan yang menimbulkan persoalan mengenai kedudukan undang-undang dan hala tuju masa depan industri tenaga negara.

Antara kebimbangan yang timbul termasuk potensi penjualan kepentingan Shell Sarawak kepada pihak luar, yang dikatakan pemain utama dalam operasi PETROS. Jika benar, langkah itu boleh membawa implikasi besar terhadap keselamatan, kestabilan, dan kedudukan ekonomi Sarawak serta Malaysia secara keseluruhan.

Naib Presiden PUTRA, Dato’ Asmawar Samat, menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh aspek strategik dan geopolitik negara.

“Kita mesti meneliti kesan jaminan keselamatan, kestabilan, dan pertahanan Sarawak, memandangkan wilayah ini berdepan dengan pelbagai tuntutan luar seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Vietnam dan China,” katanya.


Beliau turut menambah bahawa pengurusan hasil mahsul negara seperti petroleum dan gas perlu dilihat dalam konteks masa depan tenaga dunia yang sedang beralih kepada teknologi hijau.

“Apabila deposit petroleum dan gas semakin menyusut, dunia kini menumpukan kepada sumber seperti unsur nadir bumi (REE), uranium dan tenaga solar — semua ini kita ada. Malaysia bertuah kerana memiliki sumber yang pelbagai untuk menjamin kemakmuran masa depan,” jelas beliau.


PUTRA menyeru agar semua pihak, sama ada kerajaan persekutuan mahupun negeri, dapat duduk semeja bagi membincangkan isu ini secara harmoni melalui Meja Bulat Perundingan, demi menjaga kepentingan bersama, terutama bagi kaum Bumiputera di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“PUTRA bersedia membantu dalam sebarang kemelut demi memastikan masa depan negara kekal bersatu, bermaruah dan makmur,” tegas Dato’ Asmawar.


Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menekankan prinsip perjuangan parti:
“PUTRA Bersih dan Bermoral.”

#PetroleumSarawak #PETROSvsPETRONAS #EkonomiNegara #SarawakBangkit #PUTRABersuara #KedaulatanTenaga #MinyakDanGasMalaysia #AutonomiSarawak #IsuNasional #MalaysiaBersatu

Comments