Pelajar Tahfiz Dibuli, Kes Ditutup Awal? – Ibu Mangsa Dedah Bukti Trauma Anak


Buli di Tahfiz: Pelaku Diraikan, Mangsa Masih Trauma – Ibu Tuntut Keadilan

KUALA  LUMPUR, 2 Oktober 2025 – Seorang ibu, Puan Siti Maisarah binti Saifuddin, tampil mendedahkan pengalaman pahit apabila anaknya, pelajar di Maahad Tahfiz, Batu Rakit, menjadi mangsa buli sehingga mengalami kecederaan serius pada 1 September lalu.

Menurutnya, insiden itu hanya disedari selepas beliau menghantar makanan ke asrama anaknya. Guru kelas kemudiannya memaklumkan bahawa anaknya cedera di bahagian pipi selepas dikatakan dipukul oleh pelajar senior ketika bermain bola.

Lebih mengejutkan, pihak sekolah hanya memberikan ubat tanpa membawa anaknya ke klinik atau hospital. Anak mangsa kemudian menunjukkan tanda sakit teruk, muntah berulang kali dan demam panas sebelum dibawa ke hospital swasta, seterusnya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Anak saya bukan sahaja cedera fizikal, malah pakar psikiatri mengesahkan dia mengalami anxiety dan trauma,” katanya.

Puan Maisarah turut melahirkan rasa kecewa apabila pihak sekolah tidak memaklumkan lebih awal dan cuba menutup kes dengan alasan ia hanya perlu diselesaikan antara ibu bapa kedua-dua pihak. Lebih mengejutkan, katanya, pelaku diraikan dalam majlis khas khatam al-Quran yang dianjurkan sekolah, hanya beberapa hari selepas kejadian.

Beliau mendakwa wujud unsur pilih kasih kerana bapa kepada pelaku merupakan seorang pengetua tahfiz di Kuala Terengganu.

Tambahnya, tawaran pampasan daripada keluarga pelaku berupa satu dinar emas dan RM1,000 turut ditolak kerana tidak sepadan dengan kos rawatan dan trauma yang dialami anaknya.

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kak Jan, yang turut mengiringi Puan Maisarah, menegaskan kes ini tidak boleh dipandang ringan dan mendesak pihak berkuasa agar lebih telus dalam siasatan.

“Banyak sekolah menyorok kes buli. Jika tidak ditangani dengan tegas, lebih ramai pelajar akan menjadi mangsa. Kami harap pihak berkuasa ambil tindakan segera,” katanya.

Kes ini kini dalam perhatian PPIM yang berjanji akan terus mendesak agar keadilan ditegakkan dan insiden seumpama ini tidak lagi berulang.

#BuliTahfiz #KeadilanUntukMangsa #HentikanBuli #AnakKitaTanggungjawabKita #TraumaBuli #PPIM #SekolahTahfiz
#BantahBuli #SuaraRakyat #LawanSampaiMenang

Comments