KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2025 — Ketua Wirawati Parti PUTRA Malaysia, Nurhafizah Jamaludin, tampil menyuarakan kritikan tajam terhadap pendekatan Madani kerajaan dalam isu melibatkan penganjuran majlis rasmi kerajaan yang dikaitkan dengan hidangan arak baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan bertajuk “Konsep Madani: Antara Gelas Arak dan Imej Rahmah”, beliau menyindir pendekatan Perdana Menteri yang disifatkan terlalu mudah menyelesaikan isu dengan sekadar memberi “amaran” kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
“Bagi Madani, cukup sekadar amaran, masalah dianggap selesai. Begitulah mudahnya cara Madani menyelesaikan isu, seolah-olah sama mudahnya menurunkan harga RON95 enam sen dan mendakwa kos sara hidup rakyat sudah selesai,” katanya dengan nada sinis.
Nurhafizah mendakwa, tindakan kerajaan dalam menangani isu ini mencerminkan perubahan prinsip dan nilai Islam yang dijadikan hiasan semata-mata demi menjaga imej dan tepukan khalayak.
“Kami tidak marah pelancong minum. Namun, kami kagum melihat betapa pantas kerajaan menukar prinsip menjadi perhiasan di meja gala. Undang-undang boleh dilentur, syariat boleh tunduk, asalkan tepukan gemuruh bergema dan lensa kamera puas merakam,” tambahnya.
Beliau turut menyindir bahawa jika inilah wajah Islam Madani, maka syaitan “tidak perlu lagi menggoda” kerana majlis rasmi kerajaan sendiri telah menjadi simbol normalisasi maksiat atas nama diplomasi dan Rahmah.
“Dalam sejarah negara, belum pernah pengecut kelihatan seindah ini, dengan diiringi lampu gala, sut mahal, dan irama jazz,” katanya dengan nada pedas.
Ketua Wirawati PUTRA itu turut menegaskan bahawa Malaysia kini bukan mabuk kerana arak, tetapi “mabuk kerana ketakutan” — takut dikritik, takut hilang undi, dan takut dilihat tidak moden.
“Namun apabila rasa takut kepada manusia mengatasi takut kepada Allah, itulah mabuk kuasa yang sebenar,” ujarnya.
Beliau menutup kenyataan dengan peringatan keras agar semua pihak tidak leka dengan kemewahan dan slogan indah semata-mata, kerana bala Allah tidak mengenal pangkat atau jawatan.
“Jangan nanti apabila bala turun, barulah kita mencari siapa yang menuang wain pertama. Kerana dalam neraka, yang menuang dan yang menonton sama-sama terbakar.”
Kenyataan itu menambah tekanan terhadap kerajaan dalam isu yang terus menjadi bualan hangat rakyat, khususnya apabila melibatkan sensitiviti agama dan imej Islam di mata dunia.
#KonsepMadani #ArakDanRahmah #IsuSensitivitiIslam #PutraMalaysia #WirawatiPutra #NurhafizahJamaludin #KerajaanMadani #MabukKuasa #SuaraAktivisRakyat #IslamBukanPerhiasan
Comments
Post a Comment