BUDI95 Berjalan Sempurna: Tiada Laporan Isu SKPS, Pengguna Dipantau Secara Digital


KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2025 — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus memperkukuh pelaksanaan Program Subsidi Bersasar BUDI MADANI (BUDI95) dengan melaksanakan pemantauan menyeluruh terhadap Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS) di seluruh stesen minyak sekitar ibu kota.


Pemantauan ini dibuat berikutan pelaksanaan penuh program berkenaan yang bermula pada 30 September 2025, dengan sasaran untuk memastikan semua stesen minyak berlesen beroperasi mengikut ketetapan dan sistem subsidi yang disasarkan kepada rakyat Malaysia yang layak.

Menurut Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri bin Seman, hasil pemeriksaan awal menunjukkan semua stesen minyak memberikan kerjasama yang baik, dan sistem SKPS berfungsi dengan lancar tanpa sebarang isu teknikal.



“KPDN komited memastikan tiada ketirisan atau penyalahgunaan subsidi RON95. Setiap transaksi kini direkodkan secara digital dan telus melalui SKPS, membolehkan kami mengesan aktiviti mencurigakan seperti pembelian berulang atau dalam kuantiti tidak munasabah,” katanya.

Setakat ini, 196 stesen minyak telah diperiksa, dengan 101 anggota penguat kuasa digerakkan di lapangan bagi memastikan operasi berjalan lancar. Tiada aduan atau isu besar dilaporkan sehingga kini.



Dalam usaha mengelak penyalahgunaan identiti, KPDN turut memberi jaminan bahawa pemeriksaan kad pengenalan hanya akan dibuat apabila perlu, sebagai langkah pencegahan wajar. Manakala kenderaan berdaftar asing diharamkan mengisi RON95 dan hanya dibenarkan membeli RON97.
KPDN turut mengingatkan pengusaha stesen minyak supaya:
Menyemak sistem dan peranti SKPS/BUDI95 setiap hari,
Memberi pendedahan kepada pekerja tentang pelaksanaan sistem,
Memaparkan manual pengguna di pam minyak,
Membuka kaunter pendaftaran MySubsidi atau Fleetcard untuk kemudahan pengguna, dan
Segera melaporkan sebarang isu kepada KPDN.

Bagi aduan atau pertanyaan, pengguna boleh menyalurkan maklumat melalui portal e-aduan.kpdn.gov.my, talian bebas tol 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088/6245, atau WhatsApp 019-279 4317.

KPDN WPKL akan terus giat melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan subsidi petrol disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak, seiring aspirasi BUDI MADANI untuk rakyat Malaysia.

#BUDI95 #SubsidiBersasar #KPDNWPKL #SKPS #BUDIMADANI #PetrolRON95 #KawalSubsidi #PantauKetirisan #RakyatDidahulukan #KPDNAction

Comments