Boikot 5 Tahun Bermula: PPIM Seru Rakyat Malaysia Bangkit Lawan Penindasan!


KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2025 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini melancarkan Kempen Boikot 5 Tahun, satu gerakan besar-besaran yang menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang untuk bersatu menghentikan sokongan terhadap produk dan syarikat yang didakwa menyokong penindasan terhadap umat Islam dan kemanusiaan.

Ketua Aktivis PPIM, Dato’ Nadzim Johan (Toqqi) berkata, kempen ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu tindakan strategik bagi menunjukkan kuasa sebenar pengguna dalam mempengaruhi pasaran dan dasar syarikat antarabangsa.

“Kita mahu satu Malaysia bangkit dan bersama-sama boikot selama lima tahun. Ini bukan perkara sukar — kita tak perlu berkorban nyawa atau harta, cukup dengan tidak membeli produk yang menyokong kezaliman,” tegas Toqqi.

Menurut beliau, PPIM menyeru lebih 14,000 kedai mamak di seluruh negara untuk turut serta dalam gerakan ini, bagi memastikan impak ekonomi terhadap syarikat terlibat dapat dirasai secara ketara.

“Kalau kedai mamak sahaja boikot, kesannya sudah cukup besar. Kita mahu semua pihak — pengguna, peniaga, kerajaan, GLC, korporat dan NGO — bergerak serentak,” katanya lagi.

Toqqi turut memaklumkan bahawa terdapat syarikat besar yang sudah mula terkesan akibat kempen boikot terdahulu, dengan penurunan jualan sehingga 35 peratus, membuktikan kekuatan pengguna mampu membawa perubahan nyata.

Kempen Boikot 5 Tahun ini akan dijalankan secara berterusan sehingga 2030, dengan matlamat menghantar mesej jelas kepada syarikat-syarikat yang menyokong agenda penindasan terhadap umat Islam dan kemanusiaan sejagat.

PPIM turut menyeru semua media, NGO dan pengguna agar memainkan peranan aktif dalam memperluaskan mesej kempen ini supaya kesedaran rakyat dapat dipupuk dari akar umbi.

“Ini masa untuk kita bersatu, bukan sekadar bercakap. Mulakan sekarang — lima tahun boikot untuk keadilan dan kemanusiaan,” tegas Toqqi menutup kenyataannya.

#PPIM #Boikot5Tahun #KuasaPengguna #BoikotDemiKemanusiaan #SolidaritiUmat #BersatuTolakKezaliman #BoikotUntukPerubahan #PenggunaBermaruah #Toqqi #MalaysiaBersatu

Comments