Bila Trump Dijemput ke Malaysia Ibarat Iblis Dihormati, Umat Disakiti – Wiranita PUTRA


KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2025 — Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menzahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap keterbukaan Perdana Menteri yang dikatakan menyambut baik hasrat menjemput bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Sidang ASEAN akan datang.

Menurut Ketua Wiranita PUTRA, Laila Norinda binti Maon, keterujaan kerajaan terhadap Trump hanya kerana pujian ringkas “You are fantastic” amat mengecewakan, memandangkan figura tersebut pernah dikenali sebagai penyokong dasar penindasan terhadap rakyat Palestin.

“Apabila masyarakat menzahirkan bantahan, naratif kemudiannya diubah bahawa kunjungan tersebut atas jemputan rasmi ASEAN. Namun hakikatnya tetap sama – ia memberi isyarat bahawa Malaysia sanggup berkompromi terhadap prinsip kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laila turut membandingkan pendirian Malaysia dengan Presiden Colombia yang berani memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel berikutan jenayah genosid di Gaza, meskipun bukan seorang Muslim.

Beliau menegaskan, sambutan rasmi terhadap Trump hanya memperlihatkan bagaimana sebuah negara Islam boleh tunduk pada kuasa luar demi kata-kata manis sementara, sekali gus menggugat imej Malaysia di mata dunia.

“Tidak ramai pemimpin Islam di dunia ini yang sanggup membuat seorang penzalim tersenyum. Namun jika benar Malaysia menghampar permaidani merah buat Trump, ia adalah satu tragedi diplomasi moden – meraikan penindas yang pernah menyokong kekejaman Zionis,” tegas beliau.

Dalam kenyataan sama, Wiranita PUTRA secara sinis mencadangkan agar kerajaan mengisytiharkan cuti umum sekiranya kunjungan itu diteruskan, agar rakyat dapat menyaksikan “pelajaran diplomasi moden” – bagaimana prinsip boleh dijual atas nama hubungan antarabangsa.

“Kerajaan mengutuk kekejaman Israel, tetapi dalam masa sama meraikan individu yang menyokong dasar zalim tersebut. Inilah dasar talam dua muka yang mencalarkan maruah negara,” ujarnya lagi.

Wiranita PUTRA turut mempersoalkan sama ada wajar wang rakyat digunakan bagi menyambut ketibaan Trump, sedangkan individu itu pernah menandatangani dasar yang menindas umat Islam.

“Dunia kini sedang memerhati. Persahabatan dengan penzalim bukan tanda kematangan diplomasi, tetapi tanda kehilangan jati diri dan maruah,” tegas Laila.

Beliau menutup kenyataannya dengan peringatan bahawa tidak semua pujian membawa kemenangan. Ada pujian yang menutup kebenaran, dan kata “fantastic” itu mungkin sebenarnya bermaksud “anda sudah menyerah.”

“Allahu Akbar,” katanya.

#TrumpDiMalaysia #WiranitaPUTRA #SolidaritiPalestin #BantahTrump #MaruahNegara #DiplomasiHipokrit #TolakZionis #PutraBangkit #MalaysiaBermaruah #KebenaranDitegakkan

Comments