KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2025 – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan skim i-Saraan Plus dalam Belanjawan 2026, yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Skim tersebut menawarkan insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup kepada pekerja gig, termasuk pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.
Menurut kenyataan PENGHANTAR, inisiatif ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan pekerja gig yang sebelum ini tidak mempunyai simpanan tetap dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali gus memberi jaminan lebih baik terhadap perlindungan sosial dan simpanan hari tua.
Namun, PENGHANTAR menegaskan bahawa kerajaan perlu memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai kaedah padanan caruman tersebut.
“Apabila disebut padanan, persoalan timbul – adakah tanggungan ini bakal dipikul oleh syarikat e-hailing/p-hailing, atau ditanggung sendiri oleh rakan pemandu dan penghantar? Penjelasan ini penting bagi mengelakkan spekulasi atau teori separuh masak daripada pihak tidak bertanggungjawab,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, persatuan tersebut turut berharap kerajaan segera memperincikan mengenai skim tanggungan 70% caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk pekerja gig serta 50% bagi tahun kedua termasuk jumlah peruntukan yang akan disalurkan.
PENGHANTAR menegaskan bahawa maklumat jelas amat penting agar komuniti gig tidak terkeliru dan mendapat manfaat sepenuhnya daripada inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan Madani 2026.
#Belanjawan2026 #PekerjaGig #EHailing #PHailing #iSaraanPlus #KWSPGig #PerlindunganSosial #EkonomiMadani #RakyatDidahulukan #SuaraPekerjaGig
Comments
Post a Comment