“Keranda Terbang”: Putra Sokong Titah Agong, Dedah Skandal MINDEF

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2025 – Parti Putra menzahirkan sokongan penuh terhadap titah berdaulat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan supaya Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama berusia lebih 30 tahun.

Presiden Parti Putra, Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, titah Tuanku bukan sekadar nasihat, malah satu peringatan berharga yang lahir daripada pengalaman negara, khususnya kegagalan pahit projek SkyHawk yang akhirnya menjadi besi buruk meskipun berbilion ringgit wang rakyat telah dibelanjakan.

“Titah Baginda umpama suara seorang ayahanda bangsa. Pertanyaan Baginda – ‘Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam keranda terbang?’ – adalah tamparan psikologi yang menyentuh hati rakyat dan perajurit,” tegas beliau.

Menurut Putra, pembelian aset pertahanan usang hanya akan mengulangi sejarah hitam seperti SkyHawk dan Scorpene, selain menelan kos penyelenggaraan tinggi tanpa nilai strategik jangka panjang.

Isu Integriti dan Penyelewengan MINDEF

Parti Putra turut menegaskan bahawa isu komisen, orang tengah, dan bekas pegawai tentera yang menjadi broker sudah menjadi budaya busuk dalam Mindef.

“Pertahanan negara bukan pasar malam komisen. Yang kaya hanyalah orang tengah, sedangkan rakyat dan perajurit menanggung sengsara. Jika kerajaan Madani berdegil meneruskan cadangan ini, maka mereka sanggup menggadaikan kedaulatan demi kroni,” kata Dr. Ibrahim.

Putra menggariskan beberapa tuntutan utama:

Batalkan segera cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama.

Tumpu kepada aset baharu yang benar-benar memenuhi keperluan strategik.

Tubuhkan Suruhanjaya Bebas Pertahanan bagi menyiasat urusan perolehan ATM sejak dua dekad lalu.

Laksanakan dasar ketelusan penuh dalam semua pembelian pertahanan melalui tender terbuka dan audit awam.

Utamakan keselamatan nyawa perajurit melebihi keuntungan orang tengah.

Skandal LCS Jadi Pengajaran

Putra turut mengingatkan rakyat mengenai skandal projek Littoral Combat Ship (LCS) bernilai lebih RM11 bilion yang hingga kini tidak menampakkan hasil walaupun pembayaran telah dibuat.

“Ini bukan kali pertama Mindef dipalit penyelewengan. Dari harga tidak masuk akal, kelewatan kronik hingga kegagalan sistemik – semuanya menimbulkan persoalan besar, adakah Mindef untuk mempertahankan negara atau menjadi bank komisen kroni politik?” soal Dr. Ibrahim.

Putra menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan terus menuntut pembersihan menyeluruh dalam Mindef kerana keselamatan negara tidak boleh digadaikan.

“Daulat Tuanku. Putra bersih dan bermoral. Kami berdiri teguh bersama titah Raja untuk menolak budaya keranda terbang dan projek komisen yang mengkhianati kedaulatan negara,” tegas Dr. Ibrahim.

#DaulatTuanku #PutraBersihBermoral #MindefTanpaKomisen #SelamatkanPerajurit #StopKerandaTerbang #BlackHawkIsuRakyat #KetelusanPertahanan #HapusBrokerATM #LCS11Billion #PutraLawatPengkhianat

Comments