KUALA LUMPUR, 22 Julai 2025 – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) hari ini mengumumkan penyertaan rasmi mereka dalam Himpunan #TurunAnwar yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2025, bermula di Pasar Seni dan berarak ke Dataran Merdeka. Seruan terbuka turut disampaikan kepada seluruh mahasiswa, mantan aktivis pelajar, penjawat awam, dan rakyat Malaysia untuk turut serta menyuarakan bantahan terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai kezaliman pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden GAMIS, Muhammad Azamuddin bin Sahar, menyatakan bahawa kehadiran mahasiswa dalam himpunan ini merupakan lambang penolakan terhadap penindasan dan salah guna kuasa yang semakin membelenggu rakyat.
“Siri demonstrasi dan himpunan rakyat bukanlah sesuatu yang asing dalam sistem demokrasi. Kami akan hadir dan gegarkan Kuala Lumpur pada 26 Julai ini!” katanya dalam kenyataan rasmi GAMIS hari ini.
Antara Isu yang Diketengahkan:
Kenaikan kos sara hidup melalui peluasan SST dan tarif elektrik.
Penyelewengan institusi kehakiman di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim.
Kes rasuah yang berlarutan, termasuk yang membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.
Penangguhan saman sivil terhadap PM Anwar berkaitan kes seksual.
Peningkatan yuran mahasiswa dan janji palsu PTPTN.
Kebebasan bersuara yang semakin terhakis.
Kematian semangat reformasi yang dahulunya dilaungkan.
GAMIS turut menegaskan bahawa himpunan ini bukan semata-mata milik mahasiswa, sebaliknya milik semua rakyat yang cintakan keadilan dan kebebasan.
Presiden GAMIS turut menyampaikan mesej khusus kepada para penjawat awam agar tidak takut untuk bersama rakyat, menegaskan bahawa perlembagaan negara menjamin hak bersuara rakyat.
“Kalian bukan hamba kepada pemerintah yang zalim,” ujar beliau sambil mengesyorkan pemakaian pelitup muka dan jaket hitam sebagai langkah keselamatan.
Maklumat Himpunan:
Tarikh: Jumaat, 26 Julai 2025
Masa: 1.30 petang
Tempat Berkumpul: Pasar Seni
Destinasi Perarakan: Dataran Merdeka
Azamuddin menutup kenyataan dengan menyeru seluruh “kaki demonstrasi” dan rakyat prihatin untuk bersiap siaga dan memastikan kehadiran.
“Ini janji kita – perarakan akan tetap terjadi walau apa sekalipun!”
#TurunAnwar #GAMIS2025 #MahasiswaBangkit #ReformasiMati #HimpunanRakyat #LawanTetapLawan #DataranMerdeka #RakyatTolakZalim #26Julai #AnwarUndur
Comments
Post a Comment