MHO Seru Hormati Profesion EPS Bukan Penjenayah – Dato’ Hishamuddin Hashim
MHO Sarankan Kursus Wajib Bagi Penarik Kereta, Elak Salah Faham Awam
KUALA LUMPUR, 4 Julai 2025 —
Profesion penarik kereta atau repossession agent perlu dihormati sebagai satu kerjaya sah yang berperanan penting dalam ekosistem kewangan negara, demikian tegas Setiausaha Agung Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MHO), Dato’ Hishamuddin Hashim.
Menurut beliau, penarik kereta bukan sahaja memainkan peranan sebagai ejen pihak bank, malah membantu institusi kewangan mengurangkan kerugian akibat kegagalan pembayaran balik kenderaan oleh peminjam.
“Profesion ini sebenarnya satu kerjaya yang terhormat dan ada keperluannya. Tanpa mereka, pihak bank akan sukar mendapatkan semula aset mereka,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak adil untuk memandang rendah profesion tersebut hanya kerana tindakan segelintir individu yang melanggar undang-undang dan tidak memahami Akta Sewa Beli serta kod etika kerja seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
“Masalah hanya timbul apabila ada segelintir penarik kereta yang tidak faham undang-undang. Sebab itu saya sokong agar permit tahunan disertai dengan kursus etika kerja wajib,” katanya lagi.
Dato’ Hishamuddin juga menyeru masyarakat agar memahami bahawa penarik kereta menjalankan tugas mereka secara sah dan bukannya penjenayah.
“Mereka bekerja untuk sesuap nasi. Mereka bukan mencuri atau melakukan jenayah. Kalau ada kefahaman antara pengguna dan penarik kereta, isu ini boleh selesai dengan cara baik,” tambah beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang konflik antara pengguna dan ejen repossession sepatutnya dapat dielakkan jika kedua-dua pihak saling menghormati dan mencari jalan damai.
“Jangan disebabkan dua tiga orang yang bertindak melulu, kita terus menghukum keseluruhan profesion ini. Sama juga macam peguam, ada yang baik dan kurang baik,” ujar beliau.
Dato’ Hishamuddin menyeru agar semua pihak menghentikan kontroversi dan bergerak ke arah penyelesaian yang lebih harmoni dan profesional.
#HormatiPenarikKereta #ProfesionRepossession #RepossessionBukanJenayah #KefahamanAwam #EtikaKerjaRepossession #BankDanPengguna #MHO #IsuSewaBeli #KursusEtikaWajib #SelesaikanSecaraAman
Comments
Post a Comment