KPDN dan PPIM Sepakat Tangani Isu Tarik Kereta Secara Samseng: Undang-Undang Akan Diteliti Semula

KPDN dan PPIM Sepakat Tangani Isu Tarik Kereta Secara Samseng: Undang-Undang Akan Diteliti Semula

Samseng Jalanan Tarik Kereta: KPDN dan PPIM Tuntut Reformasi Undang-Undang

KUALA LUMPUR, 4 Julai 2025 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) komited meneruskan perbincangan strategik bagi menangani isu penarikan kenderaan secara tidak beretika yang kian membimbangkan masyarakat.

Dalam satu pertemuan ringkas tetapi signifikan, Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Tuan Sabri Bin Seman, menegaskan bahawa budaya perbincangan dan perkongsian maklumat antara agensi kerajaan dan NGO perlu diteruskan untuk memperkukuh perlindungan hak pengguna.

“Kami menghargai kerjasama strategik bersama PPIM sejak sekian lama. Isu seperti penarikan kereta secara kasar yang menjadi tular akan disiasat secara mendalam mengikut lunas undang-undang,” ujar beliau.

Sementara itu, Aktivis PPIM, Tuan Haji Nadzim Johan (Toqqi), menyuarakan keperluan rakyat membantu kerajaan meneliti semula undang-undang lapuk yang dilihat tidak lagi relevan dan memberi ruang kepada pihak tertentu bertindak sewenang-wenangnya.

“Kita kena bantu kerajaan perbetulkan undang-undang yang longgar. Kalau tindakan samseng di tengah lebuh raya hanya didenda RM1,000, itu tak memberi kesan langsung kepada pelaku,” kata beliau.

Datuk Seri Zaienal Abidin Omar, selaku Panel Penasihat PPIM yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam isu penarikan kereta, turut membidas sikap agresif sesetengah ejen penarik kereta yang bertindak seperti ‘kebal undang-undang’.

“Mereka sekat lebuh raya, bertindak seperti samseng, tetapi bila ditahan hanya kena denda kecil. Ini akan terus berulang jika penguatkuasaan dan hukuman tidak diperkasakan,” tegasnya.

Isu turut dibangkitkan termasuk penyalahgunaan writ mahkamah oleh institusi kewangan untuk memasuki rumah atau merampas kenderaan secara paksaan pada waktu malam, termasuk mengenakan caj melampau sehingga RM20,000 kepada pemilik kenderaan.

Dalam usaha mencari penyelesaian, PPIM menggesa pemindaan terhadap akta-akta berkaitan seperti Akta Sewa Beli dan mengadakan libat urus bersama Bank Negara Malaysia agar garis panduan lebih jelas, beretika dan adil kepada pengguna dapat diwujudkan.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah En. Jamal Ismail, Pengurus Bangunan Kondominium Villa Puteri,; En. Nazarrudin Bin Zainuddin, Ketua Unit Investigation Team; Tuan Mohd Khairul Anuar Bin Mohd Azmi, Unit Kata Jualan Langsung dan Akta Sewa Beli.

KPDN memberi jaminan bahawa segala aduan yang berasas akan diberi perhatian serius dan tindakan sewajarnya akan diambil demi melindungi rakyat Malaysia daripada sebarang bentuk penindasan.

#LindungiPengguna #IsuTarikKereta #UndangUndangLapuk #KPDNxPPIM #PenggunaBerhak #GangsterTarikKereta #ReformasiPenguatkuasaan #AduanPengguna #PPIMBersamaRakyat #KeadilanUntukPengguna

Comments