Janji Reformasi Tinggal Retorik: PUTRA Seru Rakyat Bangkit pada 26 Julai!

KUALA LUMPUR, 22 Julai 2025 – Parti Putra (PUTRA) hari ini menggesa seluruh rakyat Malaysia, termasuk penjawat awam, untuk melihat secara objektif kegagalan nyata pentadbiran kerajaan semasa dalam mengurus tadbir negara, khususnya dari sudut kos sara hidup dan tekanan ekonomi rakyat.

Ahli Dewan Tertinggi PUTRA merangkap Biro Ekonomi dan Sara Hidup Bumiputera, Dr. Mohamad Izwan Bin Zainal, dalam satu kenyataan tegas menyatakan bahawa kerajaan kini bukan sahaja gagal menunaikan janji-janji reformasi, malah terus membebankan rakyat dengan pelbagai kenaikan kos yang menjejaskan kesejahteraan hidup.

“Sudah tiba masanya kita berpijak di bumi nyata dan mengakui bahawa pentadbiran kerajaan semasa telah gagal secara jelas dalam memastikan kesejahteraan dan kestabilan kehidupan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, meskipun statistik rasmi menunjukkan kadar inflasi terkawal, realiti di lapangan membuktikan sebaliknya. Rakyat di pelbagai lapisan – tanpa mengira kaum, agama atau kelas sosial – terpaksa menanggung kos barangan dan perkhidmatan asas yang semakin melambung.

Kenyataan itu turut menyentuh bahawa naratif politik dan kenyataan media kerajaan tidak lagi mampu menyembunyikan kelemahan ketara dalam pengurusan ekonomi negara.

PUTRA turut menyeru rakyat agar menyatakan solidariti bersama mereka pada 26 Julai ini, sebagai tanda tuntutan terhadap perubahan kepimpinan negara yang lebih telus, adil dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

“Tuntutan ini bukan semata-mata isu politik, tetapi tanggungjawab kolektif untuk menyelamatkan Malaysia daripada kegagalan pentadbiran yang berterusan,” tegas Dr. Izwan.

PUTRA dalam mesejnya menyeru agar sentimen peribadi diketepikan demi masa depan negara yang lebih baik, sekali gus membuktikan bahawa suara rakyat masih ampuh dalam mencorak perubahan.

#PUTRAPerkasaNegara #TuntutPerubahan #RakyatBangkit #KerajaanGagal #KosSaraHidup #26JulaiTurun #ReformasiGagal #SuaraRakyat #SelamatkanMalaysia #KeadilanUntukRakyat

Comments